Assalamualaikum wbt,
Sukar sebenarnya nak memulakan cerita. Tak tahu mana nak mula. Segalanya macam mimpi. Selama ni baca orang lain tulis pasal pemergian orang yang mereka sayang. Sekarang ni aku sendiri yang tulis pasal pemergian orang yang aku paling sayang. Mohon maaf coretan ini agak panjang kerana aku nak jadikan ia sebagai satu catatan kenangan buatku di tahun 2015 ini.
Tak pernah membayangkan hanya 10 tahun arwah dianugerahkan kepadaku untuk sama-sama berkongsi susah dan senang, sama-sama menjaga 3 orang anak syurga. Sama-sama mengharungi segalanya.
Sejak arwah sakit, arwah selalu sangat marah-marah. Amsyar lar selalu jadi mangsa sebab dia agak nakal sikit. Lepas arwah marah-marah selalunya terus Amsyar datang kepadaku menangis dan mengadu. Akulah kena pujuk itu dan ini tapi arwah marah tak lama pun lepas tu arwah akan pujuk anak-anak semula. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
Masa Hari Raya Haji dan selepasnya kesihatan arwah sedikit demi sedikit dah merosot tapi arwah buat macam biasa jer. Still pergi kerja macam biasa. Cuma balik dari kerja arwah banyak tidur. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
2 minggu sebelum masuk hospital arwah dah tak berapa selera nak makan. Lepas tu muntah. Asyik berak-berak. Masa tu lar dia rasa kaki sebelah kiri sakit, kat belakang betis. Perut pun agak besar dan peha mulai sembab. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
Petang 5 November 2015 kami nekad ke hospital dan arwah pun tak membantah sebab kakinya makin sakit dan arwah kata macam dah tak 'rasa'. Malam tu kena admitted di tingkat 8, HTAA. Semasa di wad tersebut memang akulah yang teman. Kadang-kadang kakak arwah pun ada. Ingat lagi masa aku balik rumah sekejap, ada kami ber whatsApp tanya aku dah sampai hospital ke belum dan aku tanya ada nak apa-apa ker. Arwah tulis 'nak sayang ada jer'. (Ini aku baca semula di hp aku). Bila baca semula berderai air mata aku. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
Pagi 10 November 2015 bermula segala-galanya. Balik dari tandas masa duduk atas katil arwah mengadu kepala dia pusing dan terus dia berbaring. Selepas tu tubuh arwah berpeluh-peluh dan matanya meliar. Terus panggil doktor dan selepas tu keadaan arwah separuh sedar. Petang hari sama terus dimasukkan ke wad Intensive Care Unit (ICU) untuk dibuat dialisis di situ. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
11 November 2015... waktu melawat tengah hari ramainya rakan-rakan arwah dan aku yang datang melawat tapi masa tu arwah masih belum sedar lagi. Masih diberi ubat tidur dan ubat tahan sakit. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
12 - 14 November 2015... respon arwah tak konsisten. Sekejap ok kadang-kadang tak ok. Doktor taknak ambil risiko cabut tiub pernafasan dengan keadaan arwah yang tidak konsisten. Walau bagaimanapun aku dan keluarga agak gembira dengan perkembangan arwah semasa kami melawat. Bila dipanggil arwah memandang dan genggam tangan. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
15 November 2015... semasa jumpa Doktor Pakar Bedah dia ada bagi hint berkenaan kaki arwah. Darah dah tak mengalir ke kaki. Darah tersekat di salur darah di bahagian paha. Kaki arwah pun dah mulai hitam (gangren) kerana sarafnya telah mati. Jika tidak buat operation segera jangkitan kuman lagi cepat merebak. Ya doktor bagi tahu supaya aku lebih bersedia tapi aku masih lagi berfikiran positif yang semuanya akan ok. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
16 November 2015... Pagi tu entah macam mana aku boleh masuk ke wad sekejap. Aku lihat arwah macam sedar. Bila aku panggil arwah toleh kepadaku dan senyum. Aku pegang tangannya dan suruh dia genggam dan dia genggam tapi masa tak menyebelahi kami. Ya Allah, kalaulah aku tahu itu senyuman terakhir...
18 November 2015... Dalam pukul 10.30 pagi Doktor ICU panggil bagitahu yang aku kena buat keputusan kerana kaki arwah tak dapat diselamatkan. Masa tu aku rasa macam ada batu hempap ke bahu. Doktor terangkan apa prosedur yang akan dibuat dan sain beberapa dokumen. Operation kena dilakukan pada hari itu. Ya Allah, walaupun aku dah tahu lebih awal tetapi bila nampak dokumen yang perlu ditandatangani itu aku jadi kaku. Otak rasa kosong, badan jadi lemah sangat. Rasa tak boleh bernafas. Betulkah apa yang aku lakukan? Aku pejamkan mata, tarik nafas dalam-dalam, dalam fikiranku cuma nak selamatkan nyawa selebihnya aku berserah pada Allah SWT. Dia tahu apa yang terbaik. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim dan bacaan Al-Fatihah,dengan tangan terketar-ketar aku sain surat kebenaran.
Selepas tu arwah disiapkan untuk dibawa ke Dewan Bedah. Kira-kira jam 12.00 tengah hari arwah ditolak ke Dewan Bedah. Sepanjang perjalanan dan sepanjang menunggu perasaan aku bercampur-baur. Kira-kira pukul 3.00 petang arwah selamat dibedah dan ditolak semula ke ICU. Ya Allah, kalaulah aku tahu...
19, 20, 21 November 2015...perkembangan arwah tidak memberansangkan. Perkembangan buruk sebab berlaku pendarahan pada bahagian perut akibat jangkitan kuman. Hati rasa tak tenteram tapi masih lagi berfikiran positif. He will be fine... he will be fine. Arwah akan sembuh dan balik ke rumah. Mulut tak lekang dengan zikir. Ya Allah kalaulah aku tahu...
22 November 2015... selepas Subuh aku dikejutkan dengan panggilan Guard. Doktor panggil katanya. Jantungku duk dak duk dak. Doktor ICU terangkan perkembangan kesihatan arwah yang tidak memberansangkan. Pendarahan masih lagi berlaku. Akan dibuat prosedur memasukkan skop kali ketiga. Aku tengok bacaan jantung, tekanan darah arwah memang tak konsisten. Ya Allah kalaulah aku tahu...
11.00 pagi... sekali lagi dipanggil oleh Doktor, keputusan skop pendarahan masih ada tapi di tempat baru iaitu di pangkal usus kecil. Ubat sudah dimasukkan. Darah pun dah 4 pain dimasukkan. Tekanan darah memang tak konsisten. Pada masa yang sama antibiotik yang baru dimasukkan.
Masa tu aku tak tahu aku sedih atau kecewa tapi yang pasti aku masih berharap dan masih positif arwah akan sembuh. Aku masih rasa ada sinar kebahagiaan di penghujung penderitaan ini.
2.00 petang... aku dipanggil lagi. Bila masuk aku tengok katil arwah ditutup bidai dan beberapa orang juru rawat dan 2 orang Doktor sibuk di sebalik bidai. Doktor terus datang ke arah aku dan menjelaskan apa yang berlaku. Jantung arwah berdegup amat laju dan mereka berusaha untuk pulihkan semula. Doktor kata kemungkinan jantung arwah akan berhenti tiba-tiba amat tinggi. Keluar dari wad aku masih fikir arwah akan ok. Ya Allah kalaulah aku tahu...
4.45 petang... selesai solat Asar Guard panggil. Hati rasa tak keruan. Masuk wad keadaan seperti tadi juga di katil arwah. Aku lihat ada 3 orang Doktor dan beberapa juru rawat mengelilingi arwah. Doktor tadi juga datang kepada aku dan memaklumkan bahawa jantung arwah dah terhenti sebanyak 2 kali. Walau bagaimanapun mereka masih berusaha untuk pulihkan semula. Air mata dah mula mengalir. Peluh dingin terasa. Tangan bergetar. Y Allah dah sampai ke masanya aku akan kehilangan suamiku? Inikah masanya? Inikah perasaannya? Sambil duduk menunggu aku baca surah Yasin. Keluarga mertua pun dah mula sampai.
5.15 petang... Doktor maklumkan arwah dah tiada. Doktor tu pun aku tengok bergenang air matanya. Aku tak tahu apa perasaanku pada masa tu. Rasa sedih, kecewa semuanya bercampur-baur. Pada masa yang sama anak-anak aku sampai. Aku pandang muka ketiga-tiganya dan aku peluk mereka. Masa itulah aku rasa kehilangan yang amat sangat. Ya Allah, kesiannya anak-anakku dah tak ada ayah. Doktor benarkan aku tengok arwah. Masya Allah, muka arwah macam sedang tidur. Tak ada pun kelihatan macam menanggung kesakitan. Bersyukur kerana arwah pergi dalam keadaan yang senang dan tenang. Bersyukur aku tidak meratap merintih menerima khabar tersebut. Aku pun tak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk melalui segala prosedur dari wad ke rumah mayat dan bawa balik ke rumah.
23 November 2015... sementara menunggu van jenazah, aku duduk di atas katil dan pandang ke luar tingkap. Berfikir bahawa selepas ni arwah suamiku akan ke perjalanan terakhirnya di dunia. Tiada lagi peneman setia. Tiada lagi gurau sendanya. Tiada lagi kata-katanya. Tiada lagi pelukan sayangnya. Tiada lagi genggaman tangannya. Tiada lagi ciuman kasihnya. Tiada lagi kelibatnya. Ya Allah kuatkah aku untuk menghadapi dugaan ini? Tabahkah aku untuk mengharungi hari-hari yang mendatang?
Sampai di masjid, ramainya rakan-rakan yang datang. Aku request untuk mandikan arwah dan tukang mandi maklumkan aku akan diberi peluang untuk menjirus arwah. Tiba saatnya Ya Allah tenangnya arwah. Aku jirus perlahan-lahan sambil aku katakan pada arwah 'ini kali terakhir sayang mandikan abang dan ini bakti sayang yang terakhir untuk abang'. Sebelum muka arwah dikafan aku renung dan aku kucup dahinya buat kali terakhir. "Tunggu sayang dan anak-anak di syurga ya".
Alhamdulillah, arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Ubi. Semuanya berjalan lancar dari awal hingga akhir.
Ya, kalaulah aku tahu apa yang akan terjadi... tapi itulah kita tak akan tahu bila ajal akan menjemput. Aku dah merancang sebaik-sebaik perancangan untuk kami sekeluarga bila arwah keluar dari hospital. Kami akan belikan kerusi roda yang bersesuaian. Aku akan ambil cuti separuh gaji untuk jaga arwah. Bila dah betul-betul sihat akan diusahakan kaki palsu tapi itulah rupanya perancangan Allah lagi terbaik. "Kalaulah sayang tahu abang akan tinggalkan sayang, takkan sesaat pun sayang tinggalkan abang. Sayang akan sentiasa di sisi hingga akhir hayat abang". Allah tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Aku tahu Allah tak akan biarkan hambaNya menderita berpanjangan.
Sehingga ke hari ini aku masih merasakan hari-hariku seperti mimpi. Setiap kali bangun tidur aku pandang ke sebelah, tak ada. Aku keluar ke ruang tamu, tak ada. Aku ke belakang, tak ada. Baru aku sedar ini bukan mimpi tapi realiti. Mahu atau tidak aku harus terima dan redha. Aku harus kuat demi diriku sendiri dan anak-anak.
Aku bersyukur kerana arwah dapat menemaniku semasa saat melahirkan ketiga-tiga pewarisnya. Aku bersyukur kerana tidak pernah sekali pun tangan arwah hinggap di tubuhku. Aku bersyukur kerana arwah sentiasa ada di sisiku di kala susah dan senang. Aku bersyukur kerana banyak memori-memori indah bersamanya yang akan menemaniku sepanjang meneruskan kehidupanku. Sesunggunnya arwah adalah seorang suami yang terbaik dianugerahkan kepadaku.
Terima kasih kerana membaca coretan ini. Ku kongsikan bersama anda semua kerana aku tahu arwah mempunyai ramai sahabat yang baik. Aku usaha juga habiskan coretan ini untuk aku tinggalkan di tahun 2015 ini. Aku berharap tahun 2016 nanti membuka lembaran baru buat aku dan anak-anak. Allah tak akan memberikan ujian buat hambaNya di luar kemampuannya.
Terima kasih juga kepada anda semua kerana menjadi sahabat terbaik buat arwah. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
AZLINA MY