Emmm nampak gayanya tak ada rezeki lagilah nak tengok persembahan Anuar Zain sempena Minggu Setiausaha. Tunggu dia buat konsert lagilah nampak gayanya. Alangkah bahagianya kalau ada orang sponsor kan hehe.
STATUS ANUAR TAK TERJEJAS
Ketika segelintir artis ‘sesak nafas’ untuk mengatur langkah dalam industri hiburan tempatan, lain pula kisahnya dengan penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain.
Pada usia 44 tahun, Anuar nyata sudah berada dalam prestij tersendiri. Apatah lagi, sebut saja namanya pasti peminat takkan berkira untuk membeli tiket demi menyaksikan persembahan Anuar.
Justeru, selama manakah penyanyi lagu Sedetik Lebih dan Ajari Aku ini akan terus aktif dalam bidang nyanyian yang diceburi sejak usia kanak-kanak lagi.
Turut popular dengan lagu Kain Pelekat, Anuar berkata, sehingga kini dia tidak pernah terfikir dan mempunyai keinginan untuk ‘bersara’ daripada nyanyian.

HARGA berpatutan buat peminat untuk menyaksikan persembahan eksklusif Anuar sempena Minggu Setiausaha, April ini.
Kata Anuar, menyanyi sudah sebati dengan diri dan ia adalah minatnya. Apatah lagi, peminat juga masih memberikan sokongan padu kepadanya untuk terus aktif.
“Buat masa ini, saya akan terus menyanyi kerana yakin peminat masih lagi mahu mendengar serta menyaksikan persembahan saya. Bahkan, mereka setia menyokong saya.
“Jadi, selagi peminat dan masyarakat memerlukan saya untuk terus menghiburkan mereka menerusi produk seni dan persembahan dijayakan, kenapa perlu saya berhenti (bersara).
“Ditambah lagi, nyanyian adalah satu-satunya karier yang menyumbang kepada sumber pendapatan dan periuk nasi saya. Oleh itu, saya hanya mampu berusaha memberi yang terbaik untuk peminat,” katanya.
Menurut Anuar, sebagai penyanyi semestinya peminat adalah ‘perniagaan’ besar kepadanya dan perlu diberi perhatian terutama dari aspek persembahan.
Justeru katanya, dia lebih selesa memastikan peminatnya terhibur dan berasa puas hati lebih dulu memandangkan kesanggupan mereka mengeluarkan belanja membeli tiket untuk menonton persembahannya.
“Penting untuk saya memberi keutamaan kepada peminat kerana disebabkan sokongan mereka maka saya berada pada tahap sekarang. Jadi saya harus pastikan mereka mendapatkan hasil berbaloi daripada tiket yang dibeli.
“Sebagai seorang artis, saya lebih selesa memastikan peminat terhibur dan barulah saya boleh rasa gembira,” katanya.
Sementara itu, pada persembahan Minggu Setiausaha 2014 yang berlangsung pada 8 April depan, Anuar mengambil langkah mengendalikan sendiri segala urusan membabitkan persembahannya di Hotel One World, Petaling Jaya.
Acara persembahan yang bermula pada jam 12 tengah hari itu boleh disaksikan peminatnya dengan mendapatkan tiket pada harga dianggapnya sangat berpatutan.
Harga tiket cecah RM1,380
Jika tahun lalu Anuar pernah menetapkan harga tiket konsertnya berharga RM698 namun tetapi pada tahun ini jumlah itu mencecah sehingga RM1,380.
Menyifatkan harga dikenakan itu sebagai berpatutan, Anuar berkata, peminat bukan saja dapat menyaksikan persembahannya, bahkan mereka juga akan menjamu selera dengan hidangan lazat dan membawa pulang cendera hati istimewa.
“Pada saya, semua harga ditetapkan berpatutan kerana ia merangkumi tempat acara diadakan, makanan serta kualiti persembahan saya. Tidak terkecuali, peluang untuk peminat mendekati diri saya.
“Bersesuaian juga dengan tema ‘Terindah’ itu yang lebih menjurus kepada peminat saya. Mereka adalah perkara yang terindah buat saya.
“Apatah lagi, dengan sokongan padu mereka selama ini membuatkan saya tidak mahu sesekali menghampakan mereka. Jadi, sebagai hadiah ikhlas daripada saya, persembahan ini menjanjikan susunan muzik yang lebih segar dan mantap,” katanya.
Ditemui pada sidang media pengumuman penganjuran persembahan istimewanya bertemakan ‘Terindah... Anuar Zain’ sempena Minggu Setiausaha di ibu kota, kelmarin, selain RM1,380 untuk tiket VVIP, harga lain ditawarkan ialah RM480, RM680 dan RM980.
Bergerak sendiri di bawah syarikat miliknya, Anuar Zain Network Sdn Bhd, Anuar berkata, dia mengambil keputusan menguruskan sendiri persembahan untuk Minggu Setiausaha itu selepas melihat kejayaan dicapai dalam penganjuran konsert ‘Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari’ di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 16 Februari tahun lalu.
“Harga tiket yang saya tetapkan nampaknya mendapat sambutan baik dan bersandarkan pada kejayaan itu membuatkan saya yakin ada kekuatan untuk bergerak sendiri menguruskan persembahan di pentas industri muzik tempatan.
“Apapun, persembahan ini sangat eksklusif kerana bagi Minggu Setiausaha 2014, ia adalah yang pertama membabitkan saya. Jadi, saya tidak bekerjasama dengan pihak pengurusan lain untuk menjayakan persembahan ini,” katanya.
Memaklumkan dia akan menyanyikan sebanyak lapan lagu atau lebih, antara lagu dipersembahkan Anuar ialah Terindah.
Bahkan, bagi lagu-lagu lain pula Anuar memberi peluang kepada peminatnya membuat undian di www.facebook.com/anuarzainnetwork.
Selain itu, orang ramai dan peminat yang ingin menyaksikan persembahan istimewa ini, tempahan meja dan tiket-tiket mula dijual pada 7 Februari depan menerusi www.tiketcharge.com.my. Maklumat lanjut boleh layari Facebook Anuar Zain Network.
Sumber : Harian Metro 30/1/2014
AZLINA MY
No comments:
Post a Comment