Monday, February 18, 2013

Luahan Emosi Anuar


Luahan emosi Anuar

 Farihad Shalla Mahmud | farihad@bharian.com.myCetak
pix_gal0
Konsert solo rai kerjaya tiga dekad, kongsi cinta dengan peminat

Pentas indah sederhana besar yang terletak di tengah-tengah ruang Stadium Malawati, Shah Alam, bagai saksi perjalanan seni seorang penyanyi bernama Anuar Zain. 

Umpama menyelak helaian catatan kehidupan yang selama ini menjadi teka-teki dan penuh rahsia, Anuar seperti membuka ruang apabila berkongsi lakaran manis, senyum dan tangisnya sepanjang 30 tahun bergelar anak seni. 
Konsert Anuar Zain : Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari yang dipentaskan malam kelmarin merangkumkan perjalanan yang ditempuhinya. 


Bukan calang-calang penyanyi mampu mempertahankan popularitinya seperti Anuar. Malah, untuk sampai ke peringkat sekarang, bukanlah satu perkara yang mudah untuk penyanyi berusia 43 tahun ini. 

Lagu tersirat makna

Lantas sepanjang dua jam setengah persembahan, naluri khalayak disentuh dengan rangkaian lagu yang menggambarkan perjalanan kerjaya nyanyian anak kelahiran Merlimau, Melaka sejak 1983. 

Perjalanan emosi pemilik nama penuh Shahrul Anuar Mohd Zain ini diterjemah melalui 19 lagu yang dinyanyikannya. Setiap lagu mempunyai jalinan maksud dan makna tersendiri buat si penyanyi ini. Barangkali kerana itu juga, ketika dia berdiri di atas pentas, saat menyanyikan lagu dan berkomunikasi dengan penonton, mata Anuar kelihatan bergenang dan perasaan sebak jelas kedengaran dari nada suaranya. 
Apabila ditanya hal itu, Anuar mengakui, perasaannya sedikit sensitif malam itu. 

"Sebelum ini, ramai yang tahu saya bukanlah seorang yang senang menangis. Mereka menggelarkan saya hati batu dan sebagainya. Namun ada beberapa sebab mengapa saya jadi begitu. 

"Pertamanya, saya begitu terharu dan tak sangka saya mampu berdiri teguh dalam industri selama 30 tahun. Sebelum ini, ada yang meramalkan saya hanya mampu bertahan untuk sesuatu tempoh saja. 

"Kedua, hati saya sungguh tersentuh dengan kehadiran kedua-dua orang tua ke konsert ini. Sebelum ini, mereka memang susah nak datang ke konsert anak mereka. Ini kerana mereka tak mahu melihat betapa sukarnya kami yang terpaksa berhempas pulas di atas pentas mencari rezeki. 

“Justeru sebaik saja melihat wajah mereka, hati saya jadi sebak," terang Anuar pada sidang media selepas konsert itu berakhir. 

Pengertian mendalam

Menerusi konsert itu, Anuar membawa peminat meneroka pengalaman, arus kejayaan dan kerja kerasnya menongkah tohmahan untuk mencipta kejayaan - sama ada yang terlihat atau tersembunyi di mata masyarakat.

Konsert Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari itu juga memberi pengertian mendalam buat adik kepada penyanyi Ziana Zain ini. Ini kerana buat pertama kalinya, dia beraksi di sebuah konsert solo berskala mega sambil mengalunkan semua lagu dipetik daripada album yang pernah dihasilkannya. 

Konsert itu turut merangkumi elemen melodi, grafik dan emosi yang diterjemahkan menerusi pilihan lagu. Semuanya menggambarkan citra kehidupannya untuk dikongsi bersama peminat. 

Vokalis wanita hangatkan persembahan

Turut didedahkan Anuar malam itu adalah bagaimana dia mula-mula menceburkan diri dalam bidang seni, iaitu pada usia yang masih kecil.

"Sebagai anak, saya perlu akur dengan arahan ayah. Dia yang menyuruh saya untuk menyanyi di sebuah majlis perkahwinan. Saya memang seorang pemalu. Tapi dia tetap memaksa saya untuk menyanyi dan akhirnya saya memilih lagu Hati Lebur Jadi Debu nyanyian Hetty Koes Endang. 

“Daripada sebuah lagu, melarat-larat jadi lima lagu. Itulah titik permulaan saya menjadi penyanyi," katanya sambil disambut tepukan gemuruh lebih enam ribu penonton. 

Anuar membuka tirai persembahan dengan lagu I'm The Lucky One disusuli lagu rancak Bila Resah serta Suria dan Siarra sebelum membawa lagu yang menjulang namanya, Jangan Bersedih Lagi; Mungkin; Ajari Aku; Keabadian Cinta; Kau Bunga Cintaku dan Perpisahan. 

Penyanyi tampan ini juga turut mengalunkan lagu Ketulusan Hati; Cinta Harus Memiliki serta rangkaian medley Kembalikah Kasih dan Hanya Milikmu. 

Anuar membuat stadium itu gamat apabila mengundang tiga penyanyi bervokal hebat iaitu Adibah Noor, Dina Nadzir dan Elvina Arul untuk mengiringinya membawa lagu Cinta Harus Memiliki. Tanpa perlu menampilkan kumpulan koir, suara tiga penyanyi ini sudah cukup untuk menggegarkan stadium dengan vokal harmoni mereka. 

"Mula-mula saya segan untuk menampilkan artis popular sebagai artis undangan. Namun selepas diyakinkan oleh team produksi dan dengan bantuan Pengarah Konsert, Jennifer Thompson, akhirnya berlakukah apa yang anda saksikan tadi. Mereka memang hebat," puji Anuar. 

Gimik Nora Danish

Istimewanya, Anuar turut menampilkan model klip video Ajari Aku, Nora Danish di atas pentas ketika lagu itu didendangkan lalu mendapat tepukan gemuruh peminat. Anuar kemudian menayangkan secara eksklusif muzik video Sempurnakan Aku yang dijanjikan sebelum ini.

Apabila Anuar memberitahu dia mahu peminat pulang dengan hati yang puas, ternyata ia bukan janji kosong, ramai yang memuji sistem bunyi yang digunakan Anuar dalam konsert itu. Vokal mantap Anuar jelas kedengaran dan persembahannya dihidupkan lagi dengan bantuan penataan cahaya yang menarik. Itulah hasilnya apabila menggunakan khidmat tenaga profesional untuk menjayakan konsert itu. 

Bagi peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan konsert itu, Anuar berjanji untuk menghasilkan cakera padat (CD) dan cakera padat video (DVD) konsert itu secepat mungkin. 

Selain Ziana antara artis yang dilihat menyaksikan konsert itu ialah Fara Fauzana, Hafiz, Fazli Zainal, Thumb Suhaimi dan beberapa personaliti TV3.


Nota : Memang berbaloi dapat pergi ke konsert Anuar Zain, walaupun nampak dari jauh jer sebab beli tiket yang murah je kan tapi puas hati :-)

Lina

No comments: