minggu lepas adalah minggu yang amat memenatkan dan menyedihkan buat keluarga mertuaku. tidak pernah menyangka akan diberi dugaan yang maha hebat. orang lain mungkin bercuti sakan sebab banyak cuti tersepit kan tapi aku bercuti disebabkan kematian. sebelum itu, sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah bapa mertuaku yang telah meninggal dunia pada 14 November 2012, sehari sebelum kita menyambut Awal Muharram.
kisahnya begini. tengah hari Isnin, 12 November aku terima panggilan daripada En Khairol yang kebetulan bercuti meminta aku pulang segera ke rumah mertua aku. kebetulan pagi tersebut En Khairol yang menghantar aku jadi kenalah minta tolong kenalan di pejabat untuk hantar ke rumah. daripada panggilan tersebut aku cuma diberitahu ayah mertua aku sesak nafas dan tidak sedarkan diri.
sampai di rumah mertua, ambulans dah ada di hadapan rumah. aku masuk ke dalam dan HA tengah memulihkan bapa mertua aku. masa tu aku lihat arwah dah sedar. HA memaklumkan yang arwah perlu dibawa ke hospital juga untuk rawatan lanjut. aku dengan En Khairol pun ikutlah sekali ke hospital. sampai di hospital arwah dimasukkan ke wad kecemasan untuk pemerhatian lanjut. masa di wad tersebut arwah dah sedar dan dimasukkan air.
selepas 2 kali x-ray, doktor memutuskan untuk membuat pembedahan kerana perutnya kembung dan keras dikhuatiri ususnya terbelit. arwah juga ada mengatakan yang perutnya sakit. arwah sendiri yang bersetuju dan menandatangani borang persetujuan untuk dibedah. sebelum dibawa ke wad sebelum ke OT tu sempatlah kami semua bercakap dan mohon maaf semua. ya lah kita tak tahu kan apa yang akan terjadi nanti.
kira-kira pukul 11 malam arwah dimasukkan ke OT. masa tu cuma arwah seorang yang dibedah jadi cuma ahli keluarga kami je lah yang berada di ruang menunggu. selepas 2 jam dibedah doktor keluar untuk berjumpa keluarga dan menjelaskan bahawa ususnya normal tetapi ada pendarahan di bahagian bawah usus yang tidak diketahui daripada mana puncanya. jadi doktor menjelaskan pembedahan mungkin mengambil masa yang lama dan meminta kami berdoa semoga semuanya selamat. kira-kira pukul 5 pagi, doktor panggil sekali lagi kami semua dan memaklumkan yang pembedahan sudah selesai. hasilnya doktor memaklumkan pembuluh darah utamanya pecah dan itu yang menyebabkan pendarahan tersebut. apa yang dibuat doktor telah memotong bahagian yang pecah dan menyambungnya semula. doktor turut meminta kami semua berdoa dan redha dengan segala kemungkinan yang akan berlaku selepas ini.
kira-kira pukul 6 pagi arwah keluar dari OT dan dihantar terus ke wad ICU. dalam masa 24 jam ini arwah akan dipantau kestabilannya. hari Selasa, 13 November sempatlah kami bergilir-gilir melawat dan memberitahu semua saudara-mara dan sahabat handai. ayah dan mak aku pun sempat juga menziarah. masa hari tersebut tahap kesihatannya agak stabil dan nampak positif.
pagi hari Rabu 14 November, kira-kira pukul 8 pagi kami terima panggilan daripada hospital meminta segera ke sana kerana arwah agak tenat. kami semua memang terkejutlah sebab semalamnya nampak positif kan. sampai di sana kami bergilir-gilir masuk, baca surah Yaasin semua. doktor jelaskan pagi ni kesihatannya agak merosot, ubat yang dimasuk pun dah tak diterima. pengaliran darah juga lambat. kira-kira jam 9.15 pagi arwah meninggal dunia. alhamdulillah semua anak-anak, menantu sempat tengok cuma ada beberapa orang cucu arwah tak dapatlah sebab peraturan hospital kan.
alhamdulillah arwah selamat dikebumikan selepas Zohor. segala-gala yang berlaku amat pantas dan mengejut. semua saudara-mara dan kenalan arwah pun terkejut sebab bukannya lama sakit. dalam 3 hari tulah semuanya berlaku. aku simpati pada mak mertua akulah. selama ni ke mana-mana diorang berdua je. En Khairol pun sedih sangat-sangat sebab dia yang bongsu terasa jugalah. aku pun walaupun hanya menantu dan sempat bersama arwah kira-kira 7 tahun tapi arwah adalah seorang bapa mertua yang sangat-sangat baik. macam bapa sendiri aku rasa. yang paling aku terasa bagi pihak anak-anak akulah sebab selama ni mertua aku yang jaga masa aku bekerja. Amsyar kalau nak susu memang dia minta pada arwah. harap-harap nanti taklah demam rindukan arwah.
gambar arwah semasa Amsyar berusia 4 bulan
semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. al-Fatihah.
Lina