Thursday, March 15, 2012

Anuar Zain Buat Video Klip Di Beijing


Bawa diri ke Beijing menyiapkan dua klip video arahan sutradara muda
WALAU berpengalaman luas, Anuar Zain, 42, tidak kisah bekerja di bawah kendalian orang muda apabila menghasilkan klip video dendangan barunya, Sempurnakan Aku dan Ajari Aku di bawah arahan Syafiq Haslam.
Syafiq adalah anak muda yang sedang diasuh oleh bapanya, produser dan pengarah besar, Datuk Yusof Haslam dengan filem pertama arahannya berjudul SAM (Saya Amat Mencintaimu).

Lagu Sempurnakan Aku karya NuMatta dan Ajari Aku daripada Adrian Martadinata, menjadi lagu runut untuk filem SAM.

Kedua-dua lagu itu yang mempunyai melodi dan makna mendalam itu menjadi pilihan Skop Productions untuk melatari filem sulung pengarah muda terbabit dengan kerja pembikinan klip bakal dilaksanakan di Beijing, China pada 19 hingga 21 Mac ini.

Akui penyanyi yang sudah lebih tiga dekad melayari arena seni, kesempatan ini juga digunakan untuk mendekati kelompok peminat baru terutama generasi muda yang mempunyai selera tersendiri.

“Saya berbesar hati apabila Skop Productions berminat menjadikan Ajari Aku sebagai lagu runut bunyi untuk filem SAM apatah lagi ia mendapat sentuhan sutradara muda yang saya boleh jangka punya visi jauh dan penuh kesungguhan.

“Memang ia lebih kepada situasi menang-menang dan sebenarnya sudah agak lama saya tidak tampil dengan klip video. Bukan berkira, cuma agak mengecewakan kerana dengan kos tinggi, klip berkenaan tidak dimainkan di mana-mana.

“Saya akui, keadaan ini bukan hanya membabitkan diri saya, malah ramai penyanyi lain. Apabila pihak Skop Productions menghubungi saya membincangkan mengenai soundtrack ini kira-kira sebulan lalu, saya bersetuju kerana yakin dengan sentuhan Syafiq,” katanya di sidang media sambutan Hari Ibu di Kuala Lumpur, semalam.

Ini bukan pertama kali Anuar menyanyikan lagu tema filem. Sebelum ini dia menyanyikan lagu Perpisahan untuk filem Cinta arahan Khabir Bhatia dan Sedetik Lebih bagi filem Hikayat Merong Mahawangsa daripada Yusry Abdul Halim.

Penyanyi dan penghibur terbabit akan menyusul rombongan Skop Productions bersama lebih 40 pelakon, kru, pengurusan dan wakil media ke Beijing yang tiga hari lebih awal ke sana yang antara lain bercuti sambil membuat penggambaran klip video dan sebuah telefilem.
Sementara itu, majlis bertemakan Makan Malam Gala Bersama Anuar Zain anjuran Dream Chorus dan Dream Music di Hotel One World Petaling Jaya, Selangor pada 12 Mei ini bakal mendekatkan lagi Anuar dengan peminatnya bersama lebih lapan lagu.
Berkonsepkan berhibur sambil beramal, sebahagian daripada penjualan tiket majlis makan malam itu disalurkan kepada institusi kebajikan.
Anuar mengaku biarpun ramai melihat dia lebih banyak tampil di acara ekslusif dengan harga mencecah ratusan ringgit, jauh di sudut hati pelantun lagu Lelaki Ini ingin menghiburkan peminat dari golongan pertengahan dalam majlis lebih santai.
Namun kekangan waktu membataskan niatnya tetapi jika diizinkanNya, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Mohd Zain mahu menganjurkan acara berkenaan dalam tahun ini atau awal tahun depan.
“Sebenarnya dulu saya kerap mengadakan persembahan yang hanya mengenakan caj untuk makan saja. Ia lebih kepada mendekati peminat yang selama ini memberi sokongan tidak berbelah bagi.

“Saya tidak ekslusif, saya milik peminat cuma hambatan jadual membuatkan majlis seumpama itu sukar direalisasikan.

“Saya pasti ramai yang menantikan momen seperti itu. Saya cukup menghargai doa serta sokongan semua kerana disebabkan peminat, Anuar Zain tetap ada di sini,” katanya yang mensasarkan dua misi besar yang belum boleh didedahkan dalam masa terdekat.


 Sumber : Berita Harian

 Lina

2 comments:

Share |