Tuesday, February 1, 2011

Urus Niaga Juta-Juta Kat Parking Kereta Jer...

Pengarah kena tipu RM1.66 juta


Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/02/01

DARI kiri, Mohd Nozrul Izat, Syed Saharuddin dan Syed Mohammad Faiz.  Lelaki menyamar pegawai UPEN tawar empat projek pajakan tanah di Pahang

KUANTAN: Seorang pengarah syarikat mendakwa kerugian RM1.66 juta selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang menawarkan kelulusan bagi empat projek pajakan tanah di Pahang. Mangsa berusia 67 tahun ditawarkan empat projek pajakan membabitkan tanah seluas 20.2 hektar di Gebeng dekat sini, 2,630 hektar tanah di Rompin, 260 hektar di Raub dan 429.7 hektar di Lipis. Difahamkan tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSKP) itu ditawarkan kepada mangsa bagi dijadikan kawasan pertanian dan perlombongan bagi tempoh pajakan selama 90 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Zaini Jass, berkata mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai Ketua Penolong Setiausaha Pelaburan UPEN, Jumshairy Novdany Sulaiman.

Beliau berkata, semua urusan bagi wang pendahuluan pajakan tanah itu antara suspek dan mangsa dibuat menerusi telefon atau bertemu di dalam kenderaan di kawasan tempat meletak kenderaan di Wisma Seri Pahang di sini.

“Sepanjang urus niaga yang dipercayai bermula Disember tahun lalu, mangsa mendakwa sudah membayar RM450,500 kepada suspek melalui empat bank draf atas nama Tabung Amanah Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang.

“Malah, mangsa turut membayar wang tunai berjumlah RM1.2 juta melalui tujuh kali pembayaran dengan lima kali diberi secara terus kepada suspek, manakala selebihnya kepada dua orang tengah dilantik suspek," katanya, semalam.

Zaini berkata, bagaimanapun pada 28 Januari lalu, suspek sekali lagi bertemu mangsa di lokasi sama sebelum meminta tambahan RM500,000 bagi projek dijanjikan.

"Mangsa yang agak curiga kerana banyak wang yang sudah diberikan meminta suspek memberi masa kepadanya seketika dan tanpa diketahui suspek, mangsa ke pejabat UPEN bagi mendapat maklumat tambahan.

“Temberang suspek terbongkar apabila mangsa secara kebetulan berjumpa Jumshairy Novdany, pegawai UPEN yang sebenar yang identitinya digunakan suspek bagi menipu mangsa.

“Kedua-dua mereka kemudian pergi ke tempat meletak kereta bagi bertemu suspek, namun melihat mangsa datang bersama Jumshairy, suspek melarikan diri,” katanya.

Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Polis kini mencari tiga saksi, Mohd Nozrul Izat Mohd Arshad, 32, Syed Saharuddin Syed Abdul Hamid, 42 dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant, 24, bagi membantu siasatan

hehe macam manalar pengarah tu boleh kena tipu ek.  juta-juta lak tu.  ya lar kalau segala urusan jual-beli tanah boleh dibuat melalui telefon atau kat parking kereta wahhh senang lar cam tu.  takyah buat ofis kalau gitu.  dahlah perkara ni berlaku kat parking kereta ofis aku.  jadi tempat kejadian la ek parking tu.  dahlah aku kenal pegawai yang jadi mangsa penyamaran tu, en jumshoiry, good looking tapi dah kahwin yer kawan-kawan.  ehhh pesal lak ke situ haha.  sian kat dia mesti asyik kena bagi keterangan, kena soal-siasat nanti. 

Lina

No comments:

Share |