Monday, June 30, 2008

Futsal vs Kenduri

Hari Sabtu lepas pejabat aku ada buat perlawanan Futsal antara unit. Team lelaki aku tak ingat berapa pasukannya tapi team perempuan ada 4 pasukan saja. Ya la, baru first time involved sukan Futsal ni. Unit aku tak hantar team perempuan tapi aku main untuk pasukan lain. Kiranya pasukan campurlah. Perlawanan bermula pada pukul 8.30 pagi dan selesai pada pukul 2.00 petang. Pasukan aku dapat nombor 2. Kira oklah tu bagi aku yang baru cuba-cuba nak main hehe.

Sepatutnya pada sebelah petang aku ada jemputan ke majlis hari jadi anak officemate aku. Oleh kerana kepenatan yang amat sangat terpaksa aku cancel pergi padahal hadiah dah beli. Bagi dia masa kat ofis la nampak gayanya. Sebelah malamnya ada jemputan kahwin pegawai kat ofis aku juga. Jarang orang buat kenduri kahwin malam-malam ni, selalunya kalau buat kat hotel memanglah sebelah malam tapi ni kenduri kat rumah je. Walau bagaimanapun, memang berbaloi pergi sebab makanannya memang sedap sebab masakan Singapore. Pulak tu, buat secara berhidang, lama tak makan kenduri secara berhidang macam tu. Memang kenyang giler la aku malam tu.

Aku cuma dapat cerita je lar apa aktiviti aku pada hujung minggu lepas sebab memang tak ambil gambar langsung. Hari ni masuk ofis masih terasa lagi penatnya. Jumpa di posting seterusnya!

NotaHujungKaki : Bila penat-penat ni aku membayangkan betapa bestnya kalau dapat pergi SPA.

Thursday, June 26, 2008

Sepi

Hajat hati nak tengok filem Sepi yang hari pembukaannya pada hari ini. Aku layari cinemaonline.com nak tengok waktu tayangan. Bila melihat waktu tayangan di sebelah malam aku termenung sekejap. Ada 2 tayangan, pukul 7.20 dan 9.35 malam. Bukan ke 7.20 tu waktu maghrib? Takkan aku nak tengok waktu tu, memang sah-sah aku dan penonton lain yang beragama Islam tak sembahyang maghrib. Aku taknaklah tengok pukul 9.35 malam, aku rasa lewat sangat sebab esok hari bekerja. Kalau orang yang tak bekerja tu lainlah.

Aku jadi musykil pula bila jadi macam ni. Takkan pihak yang berkenaan tak kaji dulu waktu tayangan tu. Ini filem Melayu, dah tentu majoriti penontonnya orang Melayu yang sudah tentu-tentunya beragama Islam. Aku tak salahkan pemilik pawagam sebab dia mungkin bukan beragama Islam tapi pada mereka yang beragama Islam yang sedar perkara ini boleh memberitahu. Aku sebenarnya tak adalah alim sangat tapi solat ni sesuatu yang asas yang wajib kita buat. Jadi, pihak yang berwajib kenalah peka. Kalau masing-masing mengambil sikap tak apa, mereka yang bukan beragama Islam akan menganggap Islam ni agama yang sambil lewa je sebab mereka tengok orang Islam sendiri tak kisah sama ada acara itu mengambil waktu solat mereka atau tidak.

NotaHujungKaki : Aku perhatikan agama Islam sekarang ni senang diperkotak-katikkan oleh bangsa-bangsa lain yang bukan beragama Islam yang sebenarnya tahu Islam adalah agama yang mulia tapi mereka tidak mahu mengakuinya. Oleh itu, orang Islam kenalah bangkit membela agama kita agar dapat menangkis serangan-serangan daripada mereka ini.

Wednesday, June 25, 2008

Majlis Perjumpaan Semula

Hati aku sebenarnya bercampur-baur memikirkan majlis ni. Ada rasa gembira sebab nak jumpa kembali kawan-kawan dan guru-guru yang dah lama tak dengar khabar, ada rasa debar memikirkan apakah reaksi aku dan reaksi mereka bila bertemu nanti, ada rasa kenapa perlu jumpa, baik tak payah jumpa, taklah mengembalikan kenangan lama yang ada manis dan ada pahit terutama sekali yang pahitlah, rasa rendah diri pun ada juga sebab aku ni bukanlah dalam kategori pelajar popular dan cemerlang, aku dalam kategori yang di tengah-tengah antara yang popular dan kurang popular, ada rasa mereka ni ingat ke aku? At the end, aku gagahkan juga diri dan positifkan diri aku untuk hadir.

Di majlis tersebut, aku enjoy sangat-sangat jumpa kawan-kawan dan guru-guru aku semula. Walaupun tak sampai separuh pun datang tapi itupun dah menggamatkan suasana. Aku tak dapat nak tunjukkan gambar di sini sebab aku tak ambil gambar pun. Kan ke kamera aku dah rosak. Semuanya aku tengok dah berjaya dalam hidup. Ada yang jadi kontraktor, pensyarah, jurutera, kerja bank, kerja swasta, kerja kerajaan, business sendiri dan banyak lagi. Ada yang bertemu jodoh di kalangan kami, setakat yang aku tahu ada 2 couple, ada kahwin dengan bangsa asing, ada yang dah ramai anak, 4 hingga 5 orang, ada yang dah jadi single semula dan ada yang masih belum bertemu jodoh. Aku tengok dari riak muka bekas guru-guru aku memang terpamer wajah bangga dengan kami semua.

Sebenarnya badge aku ni adalah pelajar pertama di sekolah aku dulu, Sekolah Menengah Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad (sekarang ni dah jadi Sekolah Menengah Kebangsaan). Kira-kiranya product SPM pertama. Sekolah ni masa tu baru je buka dan kamilah perintis pertama sekolah tu. Masa tu seronok sebab kami ni pelajar-pelajar yang cemerlang dan tak banyak masalah disiplin (dengarnya sekarang ni sekolah kami ni teruk masalah disiplinnya). Memang bangga sangat jadi bekas pelajar sekolah ni.

Majlis perjumpaan ni berakhir dengan sesi bergambar dan dengan janji majlis seumpama ini akan diadakan lagi pada tahun-tahun hadapan. Mungkin 2 tahun sekali atau bila-bila yang penting memang kami akan berjumpa lagi. Masa nak balik tu ada yang masih tak berganjak lagi sebab masih seronok berbual. Aku terpaksa balik sebab kasihan anak dara aku walaupun aku masih nak berbual lagi. Aku balik dengan berlapang dada sebab majlis ni berjalan dengan lancar dan tidak seperti yang aku fikirkan pada mulanya.

NotaHujungKaki : Antara guru-guru yang hadir ialah Cikgu Bakar (kami panggil Cikgu Burn), Cikgu Taufik, Cikgu Ani, Cikgu Arbaayah dan 2 orang lagi aku tak ingat namanya (macam mana aku tak ingat ni). Antara kawan-kawan yang hadir ialah Wan Kamarul (bekas ketua pengawas), Norhidayah (ajk majlis dan isteri kepada Wan Kamarul), Syalbia Vianty (bekas penolong ketua pengawas dan ajk majlis), Wan Zaitun (ajk majlis), Aida (ajk majlis), Nurhamazidah, Haryati, Mik Norhayati, Rafeah, Suzyati, Umi, Wan Zarina, Zalela, Wan Halimah, Rushdi, Ayob, Nurul Huda dan Fairuz (suami isteri), Idzham dan ramai lagi (minta maaf kalau tak sebut sebab tak berapa ingat nama).

Tuesday, June 24, 2008

Pulau Tioman Menggamit Rindu

Kalau ada sesiapa yang buka blog aku mesti tertanya-tanya kenapalah blog dia ni tak update langsung hehe. Bukan apa kadang-kadang kita diserang sindrom malas, tak tau nak tulis apa lepas tu macam tak ada mood pun nak tulis. Itulah yang membelenggu aku sejak kebelakangan ni. Satu lagi aku sekarang ni sibuk baca blog orang lain. Kadang-kadang nak cari idea je.

Walau bagaimanapun, aku dah mood sekarang ni. Wahh... banyak betul story yang tertunggak. Nak mula yang mana satu ye. Ok, aku nak mula dengan percutian aku ke Pulau Tioman pada 5 hingga 7 Jun yang lalu. Pada mulanya aku dan Khairol merancang nak bercuti bagi meraikan anniversary kami yang ke-3 pada 3 Jun. Kebetulan Khairol jadi salah seorang urus setia bagi satu mesyuarat yang diuruskan oleh pejabatnya yang diadakan di Pulau Tioman. Jadi, aku pun menyelam sambil minum air lah. Memang bagus betul sebab boleh bawa keluarga sekali.

Kami 3 beranak bertolak dari rumah kira-kira pukul 8.30 pagi 5 Jun. Kami kena sampai sebelum pukul 12 tengah hari sebab feri bertolak pukul 12. Dah lama aku tak melalui jalan ke Rompin. Seronok pula rasanya sebab jalan raya berhampiran pantai. Seronok tengok laut yang membiru. Kami sampai ke Jeti Tanjung Gemok, Rompin pada pukul 11.15 pagi. Tunggu ahli-ahli rombongan lain, uruskan pasal tiket semua, naik feri, toh teh toh teh... feri bertolak pukul 12.30 tengah hari. Untuk makluman harga tiket feri ialah RM35.00 seorang untuk sehala. Jadi pergi balik RM70.00 seorang. Pada pendapat aku harga tiket berbaloi sebab keadaan feri tu memuaskan, rasa macam naik bas pula. Di tengah-tengah perjalanan kami naik ke tingkat atas untuk melihat pemandangan laut. Qistina pula buat feri tu macam rumah mama dan ayah dia agaknya. Lari ke sana, lari ke sini tapi bila kat tingkat atas aku tak bagi dia berlari-lari sebab besi penghadang feri tu memang muat-muat saiz dia. Nanti tak pasal-pasal anak dara kami tu jatuh ke laut.

Lebih kurang 1 jam 45 minit perjalanan kami pun sampai di Jeti Kampung Genting, Pulau Tioman. Kami terus di bawa ke tempat penginapan kami iaitu di Genting Inn Resort. Di sinilah kami akan menginap selama 3 hari 2 malam. Resort ni berkonsepkan chalet yang dibina di lereng bukit. Sebelum kami check-in, kami dijamu makan tengah hari dengan lauk-pauk kampung. Boleh tahan juga masakannya. Selepas mengisi perut, kami pun diserahkan dengan kunci chalet. Chalet kami boleh tahan juga, bilik airnya besar, ada 2 katil queen tapi yang tak tahannya boleh dengar orang sebelah berlari ke, menjerit ke heheh. Kalau untuk couple yang berbulan madu memang tak sesuweiiii....!!! Aku dan Qistina terus mandi sebab tak tahan dah berlengas-lengas badan. Khairol pula kena jemput pula lagi seorang ahli mesyuarat yang datang dengan flight tapi Khairol dah janji nak bawa kami mandi laut petang ni. Ntah macam mana lepas mandi aku dan Qistina tertidur lak. Kami terjaga masa Khairol ketuk pintu bilik. Terus dia ajak kami pergi mandi laut sebab masa tu dah pukul 5 lebih. Qistina memang seronok tak hengat dunia la dia kalau dapat main air. Pula tu ada budak-budak lain, anak-anak officemate Khairol yang datang sekali melayan dia lagi la seronoknya.

Malam hari pertama kami dijamu dengan makan malam yang best sebab ada ketam masak berlada. Aku ni memang hantu ketam jadi memang meratah je lah. Habis makan ahli-ahli mesyuarat pun masuk mesyuarat. Khairol kena standby lah sebab dia kan urus setia. Aku dan Qistina tak ada apa-apa nak buat, nak jalan-jalan pun tak ada apa kat situ, tempat shopping pun tak banyak. Adalah 2, 3 kedai. So, kami pun balik ke chalet tengok tv. Habis mesyuarat Khairol pergi memancing pula. Waktu tu dah dekat pukul 12 malam. Qistina pula tak tidur-tidur lagi mungkin dia tak biasa agaknya. Aku pun bawalah dia pergi ke jeti tempat ayahnya memancing. Sampai kat jeti tengok ikan punyalah banyak tapi satu pun tak mengena. Mungkin ikan-ikan kat situ dah demand kot tak mainlah umpan-umpan sotong ni, bagilah roti ke, pizza ke hehe. Bila tengok Qistina dah duduk tak diam, Khairol pun ajak balik sebab risau anak dara dia jatuh ke laut.

Hari kedua, tak ada apa-apa yang rasmi cuma ada pameran yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan Perdagangan. Khairol dah bangun pagi-pagi sebab kena hantar seorang ahli mesyuarat yang naik flight tu balik. Aku dan Qistina biasalah bangun lambat sikit. Kami tunggu Khairol balik sebab rancangnya nak ke Kampung Tekek. Kat Kampung Tekek ni lah ada kedai bebas cukai. Nak dijadikan cerita, kami bertiga dan ada beberapa orang lagi terlepas feri yang nak ke sana. Sepatutnya jalan pukul 10 tapi tak taulah kenapa jalan awal pula 15 minit. Khairol pun cari bot lain nak ke sana dapatlah bot nelayan yang dah diubahsuai jadi bot untuk bawa pelancong. Satu bot dikira RM200. Punyalah mencabar naik bot tu sebab bot tu kan kecil, bila feri besar lalu mulalah kami teroleng-oleng dilambung gelombang. Nasib baik Qistina tak mabuk. Aku pun rasa juga pening-pening sikit.

Sampai kat Kampung Tekek kami terus ke kedai bebas cukai. Emm... tak ada apa-apa yang menarik pun kat situ. Aku ingatkan bolehlah beli coklat untuk dibawa balik tapi hampesss... sebiji coklat pun tak ada. Sudahnya aku balik dengan tangan kosong je. Menghabihkan borehhh je pergi Kampung Tekek. Baik aku shopping kat Kampung Genting je. Balik dari Kampung Tekek kami sekeluarga melepek keletihan. Aku dan Qistina tertidur manakala Khairol kena pergi kat tempat pameran sebab ada majlis perasmian. Khairol selesai majlis tu dan aku dan Qistina bangun tidur, apa lagi pergi mandi laut lagi lah. Memang nak mandi puas-puas sebab hari terakhir kat situ, esoknya nak balik dah.

Malam hari kedua kami dijamu dengan barbeque. Ada ayam, sotong, daging dan macam-macam lagi. Aku memang makan puas-puas malam tu. Sebelum makan, aku dan Khairol sempat la pergi shopping. Bukan apa, beli buah tangan untuk keluarga dan kawan-kawan di Kuantan. Lepas makan kami jalan-jalan sekejap dan kemudian balik ke chalet. Kami tidur awal sikit sebab esok nak bangun pagi.

Hari ketiga, 7 Jun hari terakhir kami di Pulau Tioman. Feri balik ke Jeti Tanjung Gemok akan bertolak pada pukul 10.00 pagi tapi pukul 10.30 pagi baru sampai dan kami bertolak pukul 10.45 pagi. Feri sampai ke Jeti Tanjung Gemok kira-kira pukul 12.15 tengah hari. Lepas selesaikan segala urusan kami pun bertolak balik ke Kuantan. Di pertengahan jalan kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai makan yang terkenal dengan masakan udang galahnya. Ye lar kalau tak singgah bila lagi nak datang kan. Kami sampai ke rumah kira-kira pukul 3.30 petang. Khairol masuk je rumah terus pengsan. Qistina pula memang dah tidur dari dalam kereta.

Inilah serba sedikit gambar yang kami ambil masa di Pulau Tioman. Ambil pakai kamera hp je sebab kamera digital aku dah rosak. Nak beli baru belum berkesempatan lagi. Nanti aku cerita pula majlis reunion sekolah aku pada sebelah malam 7 Jun.

NotaHujungKaki : Sekarang ni hari sabtu malam ahad aku elakkan pergi ke mana-mana sebab ada temujanji dengan Brenda, Brandon, Dylan, Kelly, Steve, Andrea, David dan Donna (Beverly Hills 90210).

Di dalam feri

Jeti Kampung Genting, Pulau Tioman


Senja di Pulau Tioman


Kanak-kanak riang

Bot yang kami naiki ke Kampung Tekek

Wednesday, June 4, 2008

Cuti

Mulai esok aku akan bercuti selama 2 hari. Campur Sabtu dan Ahad jadi 4 hari. Tak sabar rasanya sebab aku, Khairol dan Qistina akan ke Pulau Tioman selama 3 hari 2 malam. Ini kali ke-2 aku ke sana. Pertama sekali masa aku masih di sekolah menengah, kira-kira 15 tahun yang lalu. Aku harap Pulau Tioman masih macam dulu, pantainya bersih, airnya hijau kejernihan, ikan-ikan masih banyak dan terumbu karangnya masih kekal terpelihara.



Aku juga tak sabar untuk bertemu semula rakan-rakanku masa di sekolah menengah. Ada beberapa rakanku telah menganjurkan reunion kami di Hotel MS Garden. Jadi, balik dari Pulau Tioman aku kena bergegas pulang ke Kuantan untuk menghadiri reunion ni. Perasaan aku sebenarnya bercampur baur mengingatkan apa yang akan berlaku nanti. Agaknya bagaimana rakan-rakanku sekarang ni, adakah mereka banyak berubah, apa pekerjaan mereka dan macam-macamlah.



Satu lagi yang aku nantikan ialah Beverly Hills 90210! Pada mereka yang seusia dengan aku mesti ingat cerita ni kan? Masa mula-mula cerita ni ditayangkan dulu aku rasa masa tu umur aku 13 atau 14 tahun. Aku memang minat giler cerita ni sebab ye lar cerita ni berkisarkan kehidupan remaja. Aku masa tu pun tengah menginjak ke umur remaja jadi memang kenalah. Lagi pun aku ni memang suka berangan-angan sikit. Di sekolah pun ada kalanya kita mengalami keadaan seperti dalam cerita tersebut. So, kepada peminat-peminat Beverly Hills 90210, nantikan kemunculan siri ini pada 14 Jun 2008, di 8TV pada pukul 11.45 malam.



Apa-apa pun aku nak habiskan cuti aku dengan sepuas-puasnya. Lepas balik bercuti nanti aku akan ceritakan aktiviti aku masa aku bercuti nanti. Adios!



NotaHujungKaki : Tengah seronok layan DVD Gilmore Girls. Baru tengok Season 1, ada lagi 6 season nak habiskan tapi aku enjoy! (ikut kata Puteri).