Oleh NOR FADZILAH BAHARUDINfadzilah.bahar@utusan.com.my
SEBELUM membuat keputusan menerima peluang berlakon yang ditawarkan oleh Rosyam Nor, Fauziah Latiff atau Jee menghubungi beberapa wartawan hiburan senior dari beberapa akhbar utama.
Sebab utama Jee berbuat demikian ialah untuk mendapatkan nasihat selain pandangan mengenai peluang yang diperolehnya itu.
Khabarnya ketika itu, Jee sangat bimbang jika lakonannya tidak menjadi dan akan menjejaskan produksi yang menerbitkan drama tersebut.
Namun kini, segala telahan dan sangkaan negatif Jee lenyap sama sekali khususnya selepas telemovie pertama lakonannya, Kudrat Iman bersama Rosyam Nor diperkatakan ramai.
“Saya tak sangka lakonan saya diterima ramai. Alhamdulillah respons peminat terhadap drama itu cukup memberangsangkan.
“Apa yang membuatkan saya terperanjat ialah setiap kali mereka berjumpa saya, mereka akan menyebut dialog dalam telemovie itu. Itu yang membuatkan saya sangat terharu,” jelas Jee.
Ketika ini pula, semangat Jee sudah berubah. Daripada gusar dan bimbang, dia kini semakin bersemangat selepas Rosyam memaklumkan padanya bahawa Kudrat Iman yang ditayangkan sempena Aidilfitri lalu telah diulang tayang sebanyak empat kali berikutan permintaan yang tinggi daripada audiens.
“Saya berterima kasih kepada semua kerana dapat menerima lakonan saya dengan baik. Terlalu banyak kelemahan yang masih perlu saya pelajari. Saya umpama kanak-kanak yang baru masuk tadika,” katanya menggambarkan kemampuan diri dalam bidang lakonan.
Lantas jika ada yang masih kempunan untuk menyaksikan bakat lakonan pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini usahlah gusar.
Ini kerana drama kedua lakonannya juga bersama Rosyam iaitu Gelora Di Hati Sara (GDHS) akan ditayangkan setiap Selasa hingga Khamis pukul 10.30 malam di RTM1 bermula malam ini.
Bermain emosi
Jika Kudrat Iman, banyak menguji pembawaan karakter Jee, begitu juga menerusi drama GDHS.
Memegang watak Sara, memerlukan Jee bermain dengan emosi yang bukan sedikit.
“Dalam drama ini saya memegang watak Sara yang makan hati dan kerap menangis. Saya paksa diri saya untuk untuk marah dan apabila marah dengan sendirinya saya akan menangis,” kata Jee menyambung perbualan.
Menurt artis kelahiran Air Tawar Perak ini lagi, pernah sekali dia tidak mampu melakonkan satu babak dengan baik sehingga menyebabkan dia ditengking oleh Rosyam.
“Skrip panjang jadi kadang kala saya sendiri susah untuk menghafalnya. Apabila kena marah sikit, fikiran saya terus kosong. Lagilah dia (Rosyam) angin dan marah pada saya ketika itu.
“Tapi saya menerima perkara tersebut sebagai satu pengajaran untuk saya baiki diri. Kalau tidak bagaimana saya nak perbaiki kelemahan diri saya,” menurut Jee lembut menjelaskan pengalamannya dimarah di lokasi penggambaran.
Belum beri kata putus
Dalam pada itu pemilik nama sebenar Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff ini memberitahu, dia masih lagi menerima beberapa tawaran lakonan.
Ketika ini, kata Jee, dia masih lagi belum bersedia untuk menerima tawaran-tawaran tersebut.
“Saya kena pertimbangkan dahulu kerana banyak faktor yang perlu saya ambil kira termasuk tawaran menyanyi dan komitmen keluarga,” ujarnya memohon pengertian semua pihak.
Pada masa yang sama, ibu kepada dua cahaya mata ini menegaskan, dia belum bersedia menukar panggilan penyanyi kepada anak wayang.
“Tak mungkin kerana nyanyian adalah jiwa dan nyawa saya. Lakonan pula sesuatu perkara baru dalam hidup saya dan masih banyak perlu saya pelajari,” sambungnya.
Tanggungjawab besar Rosyam
Sementara itu bagi Rosyam pula, apabila Jee bersedia membintangi drama terbitan syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. merupakan satu tanggungjawab besar.
“Bukan mudah nak bawa nama Jee sebagai pelakon. Sebab ramai orang nak tahu pasal dia. Jadi saya perlu menjaga imej dan reputasinya.
“Saya tak mahu orang kata Jee bukannya boleh berlakon sangat. Tanggungjawab saya besar kerana saya mahu memastikan Jee tampil sebagai pelakon yang dihormati dan disegani,” kata hero pujaan ramai ini lagi.
Sepanjang bersama Jee di lokasi penggambaran, Rosyam merumuskan artis wanita itu sebagai seorang yang pemalu khususnya ketika ramai orang menonton lakonannya.
“Apabila babak dia patut marah, dia tak lepaskan kemarahan dan kerana itu saya marahkan Jee dan terus menengkingnya,” kata Rosyam jujur.
Tambah Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2008 ini selepas kejadian Jee ditengking, apa yang merisaukan Rosyam ialah Jee merajuk atau tidak hadir ke lokasi.
“Mujur Jee profesional dan esoknya dia hadir macam biasa. Saya cuak juga sebab dia sampai lewat sikit sebab kesesakan lalu lintas.
“Apabila dia sampai saya tengok dia okey dan dapat lakonkan babak pada hari itu dengan lebih baik lagi,” katanya sambil ketawa besar mengimbas kejadian tersebut.
Jee dan Rosyam bergandingan sekali lagi dalam Gelora Di Hati Sarah selepas berlakon sama menerusi telefilem Kudrat Iman
Jee dalam Gelora Di Hati Sara
Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bharian.com.my
Fauziah digandingkan lagi dengan Rosyam Nor selepas telefilem Kudrat Iman mendapat sambutanKEMUNCULAN Fauziah Latiff sebagai pelakon semakin mendapat perhatian daripada penonton menyebabkan produser menjadikan penyanyi ini menjadi antara sebahagian daripada barisan pelakon dalam produksi mereka. Selepas mempamerkan lakonan yang baik dalam telefilem Kudrat, Fauziah atau Jee sekali lagi ditawarkan oleh Rosyam Nor ynag membintangi drama bersiri Gelora Di Hati Sara.
Drama menarik ini disiarkan menerusi slot Astaka di RTM1, jam 10 malam setiap Selasa, Rabu dan Khamis, bermula malam ini. Plot cerita Gelora Di Hati Sara ini berlegar mengenai kisah cinta dan kekeluargaan yang menuntut pengorbanan wanita dalam mengecap kebahagiaan dalam rumah tangganya. Selain Jee dan Rosyam, drama 26 episod ini turut mengetengahkan Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Hisham Ahmad Tajudin, Watie Sadali, Ismail Yaacob, Mahmud Ali Basha dan Balkish Samundur Khan.
Jee memegang watak utama sebagai Sara dan digandingkan Asrul lakonan Rosyam. Drama bersiri Kisah Gelora Di Hati Sara bermula dengan kepulangan Asrul dan Sara yang baru menamatkan pengajian dari luar negara ke Malaysia. Di luar pengetahuan keluarga masing-masing, mereka sebenarnya sudah bernikah namun perkara itu terpaksa disembunyikan kerana bimbang sikap keluarga Asrul terutama ibunya, Datin Maria yang tidak suka anak berkahwin dengan pilihan sendiri. Apatah lagi ibunya menghidap penyakit jantung. Asrul meminta Sara bersabar dengan situasi mereka itu yang terpaksa menjalani kehidupan suami isteri secara sembunyi. Namun kesabaran Sara ada hadnya apatah lagi apabila membayangkan tempat isteri adalah di sisi suami. Sara mula mencari jalan bagaimana mahu mendampingi Asrul. Kebetulan syarikat keluarga Asrul berdepan dengan kes saman daripada sebuah syarikat pelanggan. Hinggalah Sara dilantik syarikat bapa Asrul, Datuk Taufik untuk mengendalikan kes itu. Kehadiran Sara itu mengejutkan Asrul yang begitu bimbang Sara akan membongkar rahsia perkahwinan mereka. Sebaliknya Sara bersikap selamba dan hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.
Dalam diam, Diana adik perempuan Asrul turut menyembunyikan rahsia konflik yang berlaku dalam rumah tangganya bersama Zaidi. Zaidi pula ialah menantu pilihan Datin Maria. Namun malang bagi Diana, apabila Zaidi suka menderanya tetapi Diana takut untuk mengadu kepada keluarganya. Tambahan pula di depan keluarganya, Zaidi mempamerkan sikap sopan santun dan menyayangi isterinya itu. Hakikatnya Zaidi yang diberikan kepercayaan menjawat jawatan penting dalam syarikat Datuk Taufik menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan di belakang ayah mentuanya itu. Kehadiran Asrul dalam syarikat pula menimbulkan rasa kurang Zaidi kerana kegiatan jahat secara senyapnya terganggu. Begitu juga dengan kehadiran Sara yang ditugaskan Datuk Taufik menyelesaikan masalah syarikat. Kejayaan Sara mengetepikan kes saman tersebut menggembirakan Datuk Taufik yang kemudiannya melantik Sara menjadi peguam syarikatnya. Dalam diam Sara menyimpan dua misi iaitu untuk mendampingi suaminya dan menyiasat sesuatu yang dirasakan tidak kena pada Zaidi.
Sementara itu, Datin Maria begitu beriya-iya mahu menjodohkan Asrul dengan Tengku Marina, anak Tengku Malik kenalannya. Perkara ini menimbulkan perasaan kurang senang di hati Asrul yang menempatkan dirinya dalam dilema kerana dia menyintai Sara sepenuh hati tetapi pada masa sama perlu memenuhi hasrat ibunya yang tidak sihat itu. Datuk Taufik pula dalam diam menyimpan hati terhadap Sara. Perkara itu diberitahunya kepada Asrul. Asrul marah dengan tindakan ayahnya namun masih setia menyembunyikan statusnya dengan Sara daripada pengetahuan keluarganya itu. Namun sampai bilakah rahsia itu berjaya disembunyikan?
1 comment:
akak dh tgk lum??
beat tak???
Post a Comment