Tuesday, June 24, 2008

Pulau Tioman Menggamit Rindu

Kalau ada sesiapa yang buka blog aku mesti tertanya-tanya kenapalah blog dia ni tak update langsung hehe. Bukan apa kadang-kadang kita diserang sindrom malas, tak tau nak tulis apa lepas tu macam tak ada mood pun nak tulis. Itulah yang membelenggu aku sejak kebelakangan ni. Satu lagi aku sekarang ni sibuk baca blog orang lain. Kadang-kadang nak cari idea je.

Walau bagaimanapun, aku dah mood sekarang ni. Wahh... banyak betul story yang tertunggak. Nak mula yang mana satu ye. Ok, aku nak mula dengan percutian aku ke Pulau Tioman pada 5 hingga 7 Jun yang lalu. Pada mulanya aku dan Khairol merancang nak bercuti bagi meraikan anniversary kami yang ke-3 pada 3 Jun. Kebetulan Khairol jadi salah seorang urus setia bagi satu mesyuarat yang diuruskan oleh pejabatnya yang diadakan di Pulau Tioman. Jadi, aku pun menyelam sambil minum air lah. Memang bagus betul sebab boleh bawa keluarga sekali.

Kami 3 beranak bertolak dari rumah kira-kira pukul 8.30 pagi 5 Jun. Kami kena sampai sebelum pukul 12 tengah hari sebab feri bertolak pukul 12. Dah lama aku tak melalui jalan ke Rompin. Seronok pula rasanya sebab jalan raya berhampiran pantai. Seronok tengok laut yang membiru. Kami sampai ke Jeti Tanjung Gemok, Rompin pada pukul 11.15 pagi. Tunggu ahli-ahli rombongan lain, uruskan pasal tiket semua, naik feri, toh teh toh teh... feri bertolak pukul 12.30 tengah hari. Untuk makluman harga tiket feri ialah RM35.00 seorang untuk sehala. Jadi pergi balik RM70.00 seorang. Pada pendapat aku harga tiket berbaloi sebab keadaan feri tu memuaskan, rasa macam naik bas pula. Di tengah-tengah perjalanan kami naik ke tingkat atas untuk melihat pemandangan laut. Qistina pula buat feri tu macam rumah mama dan ayah dia agaknya. Lari ke sana, lari ke sini tapi bila kat tingkat atas aku tak bagi dia berlari-lari sebab besi penghadang feri tu memang muat-muat saiz dia. Nanti tak pasal-pasal anak dara kami tu jatuh ke laut.

Lebih kurang 1 jam 45 minit perjalanan kami pun sampai di Jeti Kampung Genting, Pulau Tioman. Kami terus di bawa ke tempat penginapan kami iaitu di Genting Inn Resort. Di sinilah kami akan menginap selama 3 hari 2 malam. Resort ni berkonsepkan chalet yang dibina di lereng bukit. Sebelum kami check-in, kami dijamu makan tengah hari dengan lauk-pauk kampung. Boleh tahan juga masakannya. Selepas mengisi perut, kami pun diserahkan dengan kunci chalet. Chalet kami boleh tahan juga, bilik airnya besar, ada 2 katil queen tapi yang tak tahannya boleh dengar orang sebelah berlari ke, menjerit ke heheh. Kalau untuk couple yang berbulan madu memang tak sesuweiiii....!!! Aku dan Qistina terus mandi sebab tak tahan dah berlengas-lengas badan. Khairol pula kena jemput pula lagi seorang ahli mesyuarat yang datang dengan flight tapi Khairol dah janji nak bawa kami mandi laut petang ni. Ntah macam mana lepas mandi aku dan Qistina tertidur lak. Kami terjaga masa Khairol ketuk pintu bilik. Terus dia ajak kami pergi mandi laut sebab masa tu dah pukul 5 lebih. Qistina memang seronok tak hengat dunia la dia kalau dapat main air. Pula tu ada budak-budak lain, anak-anak officemate Khairol yang datang sekali melayan dia lagi la seronoknya.

Malam hari pertama kami dijamu dengan makan malam yang best sebab ada ketam masak berlada. Aku ni memang hantu ketam jadi memang meratah je lah. Habis makan ahli-ahli mesyuarat pun masuk mesyuarat. Khairol kena standby lah sebab dia kan urus setia. Aku dan Qistina tak ada apa-apa nak buat, nak jalan-jalan pun tak ada apa kat situ, tempat shopping pun tak banyak. Adalah 2, 3 kedai. So, kami pun balik ke chalet tengok tv. Habis mesyuarat Khairol pergi memancing pula. Waktu tu dah dekat pukul 12 malam. Qistina pula tak tidur-tidur lagi mungkin dia tak biasa agaknya. Aku pun bawalah dia pergi ke jeti tempat ayahnya memancing. Sampai kat jeti tengok ikan punyalah banyak tapi satu pun tak mengena. Mungkin ikan-ikan kat situ dah demand kot tak mainlah umpan-umpan sotong ni, bagilah roti ke, pizza ke hehe. Bila tengok Qistina dah duduk tak diam, Khairol pun ajak balik sebab risau anak dara dia jatuh ke laut.

Hari kedua, tak ada apa-apa yang rasmi cuma ada pameran yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan Perdagangan. Khairol dah bangun pagi-pagi sebab kena hantar seorang ahli mesyuarat yang naik flight tu balik. Aku dan Qistina biasalah bangun lambat sikit. Kami tunggu Khairol balik sebab rancangnya nak ke Kampung Tekek. Kat Kampung Tekek ni lah ada kedai bebas cukai. Nak dijadikan cerita, kami bertiga dan ada beberapa orang lagi terlepas feri yang nak ke sana. Sepatutnya jalan pukul 10 tapi tak taulah kenapa jalan awal pula 15 minit. Khairol pun cari bot lain nak ke sana dapatlah bot nelayan yang dah diubahsuai jadi bot untuk bawa pelancong. Satu bot dikira RM200. Punyalah mencabar naik bot tu sebab bot tu kan kecil, bila feri besar lalu mulalah kami teroleng-oleng dilambung gelombang. Nasib baik Qistina tak mabuk. Aku pun rasa juga pening-pening sikit.

Sampai kat Kampung Tekek kami terus ke kedai bebas cukai. Emm... tak ada apa-apa yang menarik pun kat situ. Aku ingatkan bolehlah beli coklat untuk dibawa balik tapi hampesss... sebiji coklat pun tak ada. Sudahnya aku balik dengan tangan kosong je. Menghabihkan borehhh je pergi Kampung Tekek. Baik aku shopping kat Kampung Genting je. Balik dari Kampung Tekek kami sekeluarga melepek keletihan. Aku dan Qistina tertidur manakala Khairol kena pergi kat tempat pameran sebab ada majlis perasmian. Khairol selesai majlis tu dan aku dan Qistina bangun tidur, apa lagi pergi mandi laut lagi lah. Memang nak mandi puas-puas sebab hari terakhir kat situ, esoknya nak balik dah.

Malam hari kedua kami dijamu dengan barbeque. Ada ayam, sotong, daging dan macam-macam lagi. Aku memang makan puas-puas malam tu. Sebelum makan, aku dan Khairol sempat la pergi shopping. Bukan apa, beli buah tangan untuk keluarga dan kawan-kawan di Kuantan. Lepas makan kami jalan-jalan sekejap dan kemudian balik ke chalet. Kami tidur awal sikit sebab esok nak bangun pagi.

Hari ketiga, 7 Jun hari terakhir kami di Pulau Tioman. Feri balik ke Jeti Tanjung Gemok akan bertolak pada pukul 10.00 pagi tapi pukul 10.30 pagi baru sampai dan kami bertolak pukul 10.45 pagi. Feri sampai ke Jeti Tanjung Gemok kira-kira pukul 12.15 tengah hari. Lepas selesaikan segala urusan kami pun bertolak balik ke Kuantan. Di pertengahan jalan kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai makan yang terkenal dengan masakan udang galahnya. Ye lar kalau tak singgah bila lagi nak datang kan. Kami sampai ke rumah kira-kira pukul 3.30 petang. Khairol masuk je rumah terus pengsan. Qistina pula memang dah tidur dari dalam kereta.

Inilah serba sedikit gambar yang kami ambil masa di Pulau Tioman. Ambil pakai kamera hp je sebab kamera digital aku dah rosak. Nak beli baru belum berkesempatan lagi. Nanti aku cerita pula majlis reunion sekolah aku pada sebelah malam 7 Jun.

NotaHujungKaki : Sekarang ni hari sabtu malam ahad aku elakkan pergi ke mana-mana sebab ada temujanji dengan Brenda, Brandon, Dylan, Kelly, Steve, Andrea, David dan Donna (Beverly Hills 90210).

Di dalam feri

Jeti Kampung Genting, Pulau Tioman


Senja di Pulau Tioman


Kanak-kanak riang

Bot yang kami naiki ke Kampung Tekek

No comments:

Share |