Salam diucapkan. Berakhirlah sudah Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac yang lalu. Pilihan Raya kali ini berkesudahan dengan keputusan yang mengejutkan. Tahun ini adalah kali ke-2 aku berpeluang mengundi. Walau bagaimanapun kali ni aku tak mengundi secara biasa kerana aku adalah salah seorang petugas sambilan SPR. Oleh itu aku dikehendaki mengundi secara undi pos.
Bagaimana aku boleh terlibat sebagai petugas SPR? Pada mulanya Khairol dipelawa oleh kawan dia untuk bertugas. Oleh kerana petugas yang dikehendaki masih belum mencukupi jadi Khairol memasukkan nama aku sekali. Aku pun teruja juga sebab aku nak merasai pengalaman semasa pengiraan undi. Untuk makluman aku dan Khairol bukan bertugas di tempat-tempat mengundi di sekolah-sekolah tapi kami bertugas mengendalikan undi pos. Kami bertugas lebih awal (seminggu sebelum hari mengundi) iaitu menyediakan kertas-kertas undi yang dimasukkan ke dalam sampul sebelum diambil oleh wakil-wakil dari tentera dan polis.
Pada hari mengundi pula, tugas-tugas kami adalah mengira sampul-sampul yang dikembalikan oleh tentera dan polis. Kemudian pada pukul 5 petang barulah proses pengiraan undi dijalankan. Masa ni memang aku gementar juga sebab ya lah ini melibatkan negara juga, aku takut juga kalau tersalah kira lebih-lebih lagi ejen-ejen daripada setiap parti yang bertanding ada
di hadapan. Selepas habis mengira memang aku lega selega-leganya lebih-lebih lagi kumpulan aku tak perlu mengira sekali lagi sebab ejen-ejen pun puas hati. Aku ingat nak ambil juga gambar di pusat pengiraan tu tapi aku rasa tak sesuai pula sebab rahsia kan.
Semuanya selesai lebih kurang pukul 8 malam. Aku turut tidak melepaskan peluang duduk di depan tv menunggu keputusan. Nak tau juga kawasan yang aku jaga tadi parti mana yang menang. Hampir pukul 3 pagi aku dah tak larat nak tunggu semua keputusan so aku pun masuk tidur.
Hari Ahad 9 Mac tu aku kerah Khairol beli suratkhabar. Dia dapat beli Metro dengan Utusan je, Berita dah habis, aku memang dah agak dah. Memang mengejutkanlah keputusan pilihan raya kali ni. Memang rakyat dah bersuara menyatakan hak mereka. Bagi pendapat akulah, rakyat sebenarnya mahukan perubahan dan suara mereka didengar, itu saja. Jadi, parti yang menang haruslah membuat post mortem dan mengambil iktibar daripada pilihan raya kali ni. Aku harap Malaysia selepas ini akan lebih aman dan makmur serta harga barangan adalah lebih terkawal.
No comments:
Post a Comment